ABK 2019: Safawi tidak akan berhenti berusaha keras 

Oleh Bernama 16 November 2019 286
ABK 2019: Safawi tidak akan berhenti berusaha keras 
Pemain Paling Bernilai (MVP), Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019, Safawi Rasid, bertekad menjadi pemain lebih baik menjelang musim 2020.

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, yang turut merangkul anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular dalam majlis yang berlangsung di Bangi malam tadi, mengakui tidak pernah puas dengan prestasinya dan akan terus bekerja keras dari semasa ke semasa.

“Walaupun dapat anugerah ini, saya bukan pemain yang bagus lagi sebab saya tidak pernah puas untuk buktikan sesuatu dalam arena bola sepak.

“Saya mahu jadi lebih baik dari tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya. Saya mahu gandakan segala usaha. Kalau boleh, setiap tahun saya mahu lihat peningkatan prestasi saya dalam permainan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis ABK 2019.

Anugerah MVP yang diraih itu menyaksikan pemain berusia 22 tahun berkenaan berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi edisi lalu dengan rekod pemain termuda yang pernah memenangi anugerah MVP.

Pemain kelahiran Terengganu tersebut menikmati kemuncak karier selepas membantu JDT merangkul Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut musim ini.

Ditanya mengenai rahsia di sebalik prestasi cemerlang bersama skuad Harimau Selatan itu, Safawi berkata dia sentiasa memberikan sepenuh tumpuan dalam sesi latihan dan menganggap setiap perlawanan seperti aksi final.

“Saya berikan yang terbaik serta tumpuan penuh dalam sesi latihan dan perlawanan. Setiap aksi itu saya ibaratkan seperti final demi meraih keputusan positif. Saya tidak istimewa mana, cuma ia juga mungkin disebabkan berkat daripada ibu bapa saya,” tambahnya.

Dalam masa sama, dia turut menanam impian untuk mengembangkan bakatnya di luar negara sekiranya diberikan peluang.

“Pada usia 22 tahun, impian saya kalau ada rezeki dan tawaran dari luar, memang saya nak pergi tetapi saya perlu hormati majikan saya, iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerana baginda yang selalu menjaga saya dan pasukan JDT.” 

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen