ABK 2019: Akhyar tekad rebut kesebelasan utama JDT 

Oleh Bernama 16 November 2019 1539
ABK 2019: Akhyar tekad rebut kesebelasan utama JDT 
Pemain muda meningkat naik Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Akhyar Abdul Rashid, mengintai tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan itu pada musim 2020.

Bersama JDT, bekas pemain sayap Kedah berusia 20 tahun itu antara pemain muda tempatan yang memiliki potensi besar selain berpengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa apabila membuat empat penampilan bersama JDT di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Kelincahan Akhyar serta bakat yang dimilikinya itu turut memikat ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, untuk memanggilnya bersama skuad kebangsaan dalam beberapa kejohanan besar, termasuk kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Namun, dia yang dinobatkan sebagai Pemain Muda Harapan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 di Bangi, malam tadi, masih gagal menempatkan diri sebagai pemain utama skuad JDT dan anugerah itu membakar semangatnya untuk terus berusaha.

“Sasaran saya pada musim 2020 adalah untuk bekerja keras bersama pasukan JDT dan cuba mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama atau sekurang-kurangnya lebih kerap diturunkan. Ia akan membantu saya untuk meraih lebih pengalaman.

“Anugerah ini sudah tentu saya jadikan sebagai pembakar semangat untuk mengharungi musim depan dan terus 'pulun' dalam sukan bola sepak,” katanya kepada pemberita dalam majlis malam tadi. 

Bercakap mengenai pengalaman selepas semusim bersama JDT, Akhyar mengakui ia mempengaruhi peningkatan prestasinya setakat ini.

“(Hasil perpindahan) daripada Kedah ke JDT, memang (ada) penambahbaikan yang sangat banyak, saya berterima kasih kepada JDT kerana memberi saya banyak pengalaman seperti bermain dalam ACL.

"Kemudahan di sini juga terbaik selain saya dikelilingi rakan sepasukan yang hebat serta bos (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang terbaik,” katanya.

Akhyar, yang merangkul Piala Sumbangsih dan Piala FA bersama Kedah pada musim 2017, berhijrah ke JDT pada musim 2019 selepas menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2018.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen