Selepas berjaya mengikat pemain Korea Selatan, Do Dong-hyun, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan kehadiran bekas pertahanan tengah Simen Padang, Cassio Francisco De Jesus, sebagai awang import terbaru untuk menguatkan benteng pertahanan The Red Warriors (TRW) dalam Liga Malaysia musim depan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani IIias Khan, mengesahkan pemain kelahiran Brazil itu telah menandatangani kontrak selama setahun dengan pilihan tambahan setahun lagi jika menunjukkan aksi terbaik sepanjang musim depan.

“Cassio dipilih kerana menunjukkan aksi terbaik bersama kelab terdahulunya (Simen Padang) dan usianya masih muda (28 tahun).

“Dia juga bebas daripada kecederaan dan berjaya memikat panel kejurulatihan yang telah kita lantik. Kehadirannya diharap mampu menjadikan benteng pertahanan TRW mantap semula,” katanya.

Ditanya mengenai kuota lima pemain import, Bibi Ramjani menjelaskan KAFA akan cuba melengkapkan kuota tersebut dengan pemain yang berkualiti bagi memastikan TRW mampu memberi saingan sengit dalam saingan Liga-M musim depan.

“Kita akan melengkapkan kuota lima pemain import yang berkualiti demi memastikan Kelantan mampu memberikan cabaran yang hebat kepada pasukan lain dalam Liga Super nanti.

"KAFA juga bercadang meminjamkan pemain import dari Lubnan, Abou Bakr Al-Mel atau Bako kepada pasukan lain yang berminat mendapatkan khidmatnya.,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, bekas pengendali Felcra FC, Yusri Che Lah, diumumkan sebagai penolong jurulatih yang baharu, sekaligus menamatkan teka-teki peminat.