Berpeluang bersaing dalam Liga Super musim depan, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, bertekad mahu melihat pencapaian pasukan di tahap optimum dan tidak mahu dilabel sekadar pasukan pelengkap.

"Ini satu pengiktirafan, bukan sebagai pelengkap. Umum tahu PKNP bermula dengan perit-jerih tetapi keazaman setiap mereka yang terlibat di sini (PKNP) yang membawa kami sampai ke hari ini," ujar Abu Bakar.

Baginya, cabaran sudah bermula sejak menerajui pasukan ini dan kini tanda aras yang dicapai perlu dipertingkatkan lagi.

"Musim baru, liga baru, memang satu cabaran. Kita lihat bagaimana. Apa yang pasti, PKNP akan seimbang dengan pasukan elit lain dalam Liga Super."

PKNP kehilangan beberapa tonggak seperti Mohd Syazwan Zaipol Bahari yang kembali ke Perak selain Ahmad Sukri Abd Hamid yang menyertai Kelantan selain pemain import dari Korea Selatan, Kim Hyeon Woo dan Vincent Lucas.

"Biasa, dalam warna bola sepak, pemain keluar dan masuk. Positifnya, kita lebih matang dan berpeluang mengenal pasti kaliber seseorang pemain. Apapun, pasukan saya akan lengkap dalam masa terdekat," ujarnya.