85 peratus pemain Perak kekal

Oleh  Azizan Hashim 14 November 2018 3902
85 peratus pemain Perak kekal
Pemain import, Misagh Bahadoran dan Jad Noureddine, adalah antara enam pemain skuad juara Piala Malaysia, Perak, yang akan digugurkan bagi menghadapi kempen Liga Malaysia musim 2019.

Bahadoran adalah penyerang dari Filipina manakala Noureddine merupakan pemain pertahanan dari Lubnan yang diambil semasa jendela perpindahan kedua dibuka Jun lalu.

Kedua-dua pemain kehilangan tempat dalam pasukan The Bos Gaurus apabila Mehmet Durokovic hilang keyakinan terhadap mereka manakala Pemsin Temparan yang digugurkan terdiri daripada pemain simpanan yang langsung tidak diturunkan. 

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Muhammad Yadzan Mohammad, berkata pengguguran mereka adalah atas cadangan Durokovic sebelum beliau pulang bercuti ke Australia, Ahad lalu.

"Seramai 10 pemain akan tamat kontrak akhir bulan ini, empat tamat kontrak bulan depan serta dua tamat kontrak pada 2020.

"Seramai 12 pemain akan tamat kontrak di akhir tahun depan, termasuk Nasir Basharuddin, Amirul Azhan, Nazirul Naim, Shahrul Saad dan Brendan Gan," katanya.

Namun, atas nasihat Durakovic, hanya 10 nama daripada senarai itu yang akan diperbaharui.

"Perbincangan dengan beberapa pemain tempatan akan diadakan dalam waktu terdekat untuk menyambung kontrak mereka," tambahnya.

Menurut Yadzan yang juga memegang status pengurus baru pasukan Perak, pada keseluruhannya 85 peratus pemain skuad musim ini dikekalkan.

Dalam perkembangan lain, trofi Piala Malaysia akan dipamerkan selama dua hari pada Sabtu dan Ahad ini, sama ada di Hotel Casuarina Meru atau pusat beli-belah Mydin Mall Meru Raya bergantung kepada persetujuan salah satu pemilik premis terbabit.

Trofi berkenaan akan dipamerkan untuk tontonan orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 6 petang manakala beberapa pemain akan berada di venue berkenaan dari jam 2 hingga 6 petang untuk bertemu peminat.

"Walaupun sudah dipamerkan di Kuala Kangsar, Ahad lalu, masih ramai yang mahu melihat trofi unggul itu di Ipoh," ujarnya.
 

Tentang Penulis

 Azizan Hashim

Komen