Kumpulan yang mewakili 52 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak terburu-buru mendapatkan keputusan daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebaik selesai menghantar laporan penuh kongres luar biasa (EGM), hari ini.

Sebanyak 52 kelab penentang pucuk pimpinan persatuan itu yang diwakili Hamdan Hashim dan Datuk Ariffin Abdul Hamid menyerahkan sendiri laporan EGM kepada Datuk Zaiton Othman.

Ketelusan daripada PJS ditagih untuk meneliti laporan berkenaan secara menyeluruh dengan mengharapkan keputusan berpihak kepada mereka.

Apa yang pasti, mereka tidak akan tergesa-gesa untuk mendapatkan kata putus daripada PJS kerana paling utama adalah kebenaran yang dituntut.

"Kami yakin bahawa dokumen sudah sampai ke tangan dia. Laporan yang dihantar itu akan diberikan masa untuk dikaji dan dinilai. Kami akan tunggu apa keputusan Datuk Zaiton," ujar Hamdan.

"Saya berpandangan untuk menyerahkan kepada PJS. Saya mengharapkan dia akan membuat satu keputusan yang baik," tambah Ariffin.

FAS terlebih dahulu dipalit kontroversi apabila EGM persatuan itu yang diadakan oleh 52 ahli gabungan minggu lalu dikatakan tidak sah apabila gagal mencapai keperluan yang diperlukan.