Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melantik bekas jurulatih penjaga gawang Pahang dan kebangsaan, Zuraimi Hassan, sebagai sebagai jurulatih penjaga gol skuad The Red Warriors (TRW), musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh jurulatih kelahiran Pahang itu dan kemahuannya untuk turut sama mengembalikan semula aura skuad TRW.

"Zuraimi sebelum ini juga memiliki pengalaman membimbing penjaga gol Felda United dan Akademi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Bawah 17 Tahun," kata Bibi Ramjani.

"Kami harap kehadirannya dapat membantu pasukan, terutama meningkatkan keyakinan dan prestasi penjaga gol muda TRW sebelum saingan Liga Perdana bermula bulan depan."

Sementara itu, Zuraimi berkata dia berazam untuk mengembalikan imej TRW yang tercalar akibat tersingkir ke Liga Perdana dengan melahirkan ramai pemain berkualiti, sekali gus mampu membawa Kelantan beraksi semula dalam Liga Super musim depan.

"Saya mahu 'melahirkan' lebih ramai penjaga gol muda TRW setanding dengan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, demi masa depan cemerlang bola sepak Kelantan ," ujarnya.

Jurulatih berusia 42 tahun itu juga berterima kasih kepada KAFA yang memberikan kepercayaan kepadanya menjadi sebahagian daripada barisan jurulatih Kelantan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

"Saya bertekad untuk membalas kepercayaan mereka (KAFA) dengan menggunakan pengalaman yang ada."

Kredit imej: Kelantan FA