Setelah berjaya mengejutkan ramai pihak menduduki tangga ketiga Liga Perdana sebaik menamatkan pusingan pertama, PDRM melalui ketua jurulatihnya, Zulhamizan Zakaria, mula memasang impian mahu curi satu slot Liga Super musim depan.

PDRM bermula agak goyah pada awal musim ini, malah sentiasa berada dalam zon penyingkiran ekoran sekadar meraih satu kemenangan daripada enam perlawanan awal.

Bagaimanapun, Zulhamizan semakin matang merencana strategi apabila tempoh cuti panjang pada Mac lalu diguna sebaik-baiknya untuk memperkemaskan rentak pasukan.

Biarpun khidmat penyerang import, Petrisor Voinea dari Romania kurang menjadi, Zulhamizan bijak menggunakan sepenuhnya kudrat tempatan bagi memburu jaringan penting buat pasukan.

"PDRM akhirnya berjaya mengatasi masalah di depan gol dan saya mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain kerana berjaya mempamerkan aksi cemerlang," kata Zulhamizan.

Mengenai isu tunggakan gajinya 15 bulan dengan Kuantan FA, Zulhamizan mengakui masih belum ada sebarang khabar berita daripada bekas majikannya.

Jika masih belum ada kata putus dalam masa terdekat, dia tidak teragak-agak membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi.

"Saya akan berunding dengan pakar mengenai isu ini jika ia masih berlarutan."