Kelantan meneruskan siri aksi persahabatan apabila turun menentang kelab dari Thailand, Nara United, di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Selepas terikat seri 2-2 dengan Terengganu FC II, minggu lalu, ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, terus menuntut persembahan berkualiti daripada pemainnya.

Malah, pengendali kelahiran Perlis itu mendedahkan perlawanan malam ini penting untuk menilai kemampuan anak buahnya mengharungi saingan Liga Perdana yang akan membuka tirai hujung bulan depan.

"Paling penting, jika mereka (pemain) mahu berada dalam kesebelasan utama, mereka perlu bekerja lebih keras.

"Untuk itu, saya akan berikan lebih masa kepada pemain untuk membuktikan kemampuan dalam aksi itu," katanya.

Dia juga mengesahkan semua awang import terbaru TRW akan diturunkan bagi menilai tahap kecergasan mereka.

"Peluang terbaik kepada penyerang kelahiran Nigeria (Felix Chidi Odili) dan Rhulani Manzini dari Afrika Selatan untuk membuktikan kemampuan.

"Begitu juga Varney Kiatamba Jr (Liberia) dan Kang Seung-Jo yang diharap mampu memikat hati penyokong setia dengan aksi mantap.

"Kami juga akan baiki segala kelemahan yang ada dalam skuad ini menjelang aksi sebenar kelak," katanya.


Kredit Foto: Kelantan FA



Editor: Shaiful Shamsudin