Biarpun turun tanpa kelibat awang import dan pemain utama yang dihimpit masalah kecederaan, ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, masih yakin The Red Warriors (TRW) memiliki semangat juang tinggi untuk mencipta kejutan ke atas tuan rumah, Pulau Pinang, dalam saingan Liga Perdana di Stadium Bandaraya, malam esok.

"Biarpun Kelantan memiliki kekurangan yang amat jelas (beraksi tanpa pemain import), namun saya optimis dengan barisan pemain tempatan yang ada, kami masih mampu memberi saingan yang kuat kepada tuan rumah.

"Pemain juga sedar kemenangan ke atas Pulau Pinang akan membolehkan kami merapatkan jurang dengan pasukan dalam kelompok pertengahan seperti Negeri Sembilan, PDRM, UKM FC dan Sarawak," katanya.

Ditanya mengenai ketumpulan jentera serangan yang sering menjadi batu penghalang kepada Kelantan untuk menghasilkan jaringan, Yusri mengakuinya sambil menegaskan barisan penyerang diberikan latihan intensif untuk meningkatkan ketajaman di depan gawang lawan.

"Sebelum ini, kami banyak bergantung kepada penyerang import untuk menghasilkan jaringan.

"Namun, selepas ketiadaan mereka, Fauzi (Roslan) dan Nik Azli (Nik Alias) perlu berusaha lebih gigih untuk mengambil alih posisi tersebut.

"Saya akui mereka (penyerang tempatan) perlukan masa tetapi tetap yakin mereka mampu melakukannya," katanya.

Pengendali berusia 43 tahun itu juga mengingatkan benteng pertahanannya supaya mengikat pergerakan penyerang import kelahiran Zambia, Ndumba Makeche, jika tidak mahu berputih mata.

"Pastinya kami akan merantai kelibat Makeche yang cukup bijak mengemudi serangan Harimau Kumbang.

"Dia akan menyerang melalui sayap kanan dan kiri. Kalau masih ingat, kekuatan fizikal yang dimilikinya berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan kami dalam pusingan pertama dulu," katanya.

Untuk rekod, dalam pusingan pertama Liga Super, TRW berjaya mengalahkan Pulau Pinang 2-1 untuk merakamkan kemenangan pertama di gelanggang sendiri musim ini.