Selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam aksi sepanjang Ramadan, ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, mengharapkan sinar Syawal menghadirkan keputusan positif kepada Kelantan yang akan turun menentang UiTM FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, malam esok.

Sedar ranjau yang bakal ditempuhi akibat kehilangan khidmat Mohamad Azwan Aripin yang digantung satu perlawanan selain Danial Haqim Draman yang diitimpa kecederaan, Yusri masih yakin bahawa anak buahnya akan memberikan persembahan terbaik di gelanggang sendiri untuk mengejutkan skuad kendalian Ismail Zakaria itu.

"Persiapan untuk menentang pendahulu Liga Perdana, The Lion Troops, berjalan lancar biarpun Kelantan sedikit pincang apabila kehilangan dua tonggak utama, iaitu Azwan (Aripin) dan Danial Haqim.

"Semangat pemain juga cukup baik dan sedar kemenangan ke atas UiTM FC mampu meredakan tekanan dan membawa TRW keluar daripada zon penyingkiran," katanya.

Yusri juga mengharapkan kapten TRW, Farisham Ismail, dan benteng pertahanan mampu mengekang gerakan dan kelincahan penjaring terbanyak Liga Perdana, Zarko Korac.

"Saya harap Farisham dapat ketuai barisan pertahanan dengan baik dan tidak beri ruang besar kepada kapten UiTM (Korac) untuk berada terlalu lama dalam kawasan penalti kami. Dia mampu menyebabkan kami berputih mata di gelanggang sendiri," ujarnya.

Ditanya kemungkinan menurunkan pemain import pinjaman dari Kelab Batu Dua FC, Seydi L Imam, Yusri menyerahkannya kepada pihak pengurusan untuk menentukan nasib penyerang kelahiran Perancis itu.

"Nasib Imam bergantung kepada keputusan yang bakal diputuskan pihak pengurusan pagi esok," katanya.

Untuk rekod, selepas mengharungi 14 perlawanan, Kelantan terus di dasar Liga Perdana dengan mengumpul sembilan mata manakala UiTM FC muncul sebagai pendahulu liga dengan 26 mata.