Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengulangi ingatannya kepada kapten, Farisham Ismail, dan barisan pertahanan The Red Warriors (TRW) untuk mengekang jentera serangan PDRM FA dalam saingan Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Katanya, jentera serangan The Cops yang diketuai bekas penjaring terbanyak Liga Bahrain musim lalu, Uche Ayba, dan Patrick Ronaldinho cukup berbisa dan skuad TRW perlu sentiasa fokus dan menutup segala ruang jika tidak mahu berputih mata di laman lawan.

"Jentera serangan PDRM setakat ini sudah meledakkan 23 gol dalam saingan liga dan situasi ini cukup membimbangkan saya.

"Sudah pasti, saya mengharapkan barisan pertahanan yang diketuai ketua pasukan, Farisham, lebih bersedia menangkis segala asakan yang dilakukan tuan rumah.

"Cuma, kami turun malam ini dengan semangat yang tinggi selepas mencipta kemenangan 2-0 ke atas Selangor United di Kota Bharu, Jumaat lepas," katanya.

Biarpun lebih menumpukan kepada barisan pertahanan, namun pengendali kelahiran Perlis itu tetap berharap pemain muda kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Daniel Haqim Deraman dapat menjadi nadi untuk menghidupkan bahagian tengah TRW bagi memberi tekanan kepada skuad kendalian E. Elavarasan itu.

"Saya harap mereka (Nik Akif dan Daniel Haqim) ini akan terus menjadi nadi untuk mengunci serta merantai pergerakan jentera serangan tuan rumah nanti," katanya.

Yusri tidak akan bersama TRW malam ini kerana sedang mengikuti Kursus Kejurulatihan Diploma Profesionalisme AFC 2019-2020 modul kedua di Kuala Lumpur sehingga 19 Julai ini.