Selepas dibelasah Pulau Pinang 1-4 di Stadium Bandaraya, minggu lalu, ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, mengarahkan benteng pertahanan Kelantan merantai dua penyerang import lincah Negeri Sembilan dari Brazil dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Dua pemain import yang dimaksudkan adalah Jose Almir Neto dan penyerang yang baru diikat, Igor Luiz, yang cukup berbisa di depan gawang.

“Kalau tengok ketika Kelantan tewas besar 2-5 kepada Negeri Sembilan di Kota Bharu, tiga gol dalam tempoh 10 minit mereka hasil daripada serangan balas pantas dan saya rasa kami perlu mengekang pemain nombor 9 mereka (Neto).

“Mereka juga baru mengikat pemain import baru (Igor Luiz) yang beraksi baik dan menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Terengganu FC II (TFC II) baru-baru ini.

"Jadi, kami kena rantai dua penyerang ini agar tidak memberi masalah kepada kita dalam usaha mencuri mata di gelanggang lawan," katanya.

Yusri juga cuba mengubah sedikit strategi permainan TRW supaya tidak mudah terperangkap dengan taktikal yang bakal digunakan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu.

"Kami tidak boleh beraksi dengan corak permainan terbuka kerana mereka sudah pasti akan menghukum dengan serangan balas pantas yang bakal memerangkap pertahanan Kelantan.

“Saya telah ingatkan mereka (barisan pertahanan) agar lebih fokus dan kami terpaksa ubah sedikit percaturan taktikal kerana perlu mengejar mata memandangkan pasukan di atas, Sarawak dan UKM FC, tidak terlalu jauh dengan kami dari segi perbezaan mata.

“Apa yang perlu saya fikirkan ialah untuk mendapatkan mata bagi memastikan Kelantan kekal dalam saingan Liga Perdana terlebih dahulu,” katanya.