Ada mesej penting daripada ketua jurulatih baru The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, kepada pemainnya sebelum turun menentang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Yusri, yang baru dilantik menggantikan Marko Kraljevic, mahukan pemain Kelantan bangkit dengan aksi lebih agresif bagi memburu kemenangan kedua dalam liga dan keluar daripada zon penyingkiran.

"Mereka (pemain) kena faham ini adalah Kota Bharu.

"Apabila bermain di laman sendiri, perlu ada sikap atau tindakan agresif dalam setiap gerakan demi memastikan kemenangan memihak kami.

"Saya berharap pemain tidak melepaskan jaringan dan dalam masa sama cuba mencari jaringan serta kemenangan kerana setiap mata amat penting buat Kelantan.

"Apa yang perlu saya katakan, jika mereka beraksi secara berpasukan dan memberikan segala-galanya, Insya-Allah, kami mampu mengalahkan Negeri Sembilan," katanya.

Ditanya tentang kesebelasan utama yang akan diturunkan bagi menentang skuad Hoben Jang Hoben itu, Yusri, yang juga bekas pengendali Kuala Lumpur, masih berahsia selain sedar tentang masalah kecederaan dan penggantungan pemain akibat kad merah akan merencatkan strategi yang dicaturkan.

"Cassio (de Jesus) masih cedera, begitu juga Flavio (Beck Junior) yang masih mengadu sakit lutut.

"Penyerang muda, Nik Azli (Nik Alias) juga terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

"Selain itu, Nik Akif Syahiran (Nik Mat) dan Mohd Azwan (Aripin) digantung permainan akibat kad merah.

"Situasi itu amat perit untuk diterima tetapi saya perlu mengharapkan pemain lain dapat bermain dengan baik dan berharap kami akan memperoleh keputusan yang positif malam esok," ujarnya.

Untuk rekod, Kelantan berada di dasar Liga Perdana dengan empat mata manakala Negeri Sembilan di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris berada di tangga keenam dengan 10 mata.