Ketua jurulatih The Red Warriors, Yusri Che Lah, mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk mendapatkan pemain import baru dalam masa terdekat.

Ketika mengesahkan perkara itu, Yusri berkata pemilihan pemain tersebut perlu bersesuaian dengan taktikalnya, sekaligus dapat membantu Kelantan keluar dari dasar Liga Perdana.

Justeru, bekas pemain negara itu berharap dapat memilih sendiri calon terbaik mengisi slot import dengan posisi penyerang menjadi keutamaannya.

"Sekiranya diberi kepercayaan, saya sudah ada bayangan siapa untuk didaftarkan sebagai penyerang import.

"Saya tidak pasti calon pilihan KAFA. Saya harap pertemuan dengan pihak pengurusan selepas ini mencapai kata putus sebelum jendela perpindahan ditutup," jelasnya.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL )semalam mengumumkan untuk membenarkan Kelantan mendaftarkan seorang pemain baru dengan bersyarat.

Yusri juga tidak menolak kemungkinan ada tonggak Kelantan sedang dipancing tanpa menyebut nama selain menyifatkan situasi itu sebagai asam garam bola sepak.

"Kalau mereka ingin keluar, saya tak akan halang, namun hakikatnya mereka dapat minit permainan di sini, terutamanya tonggak skuad B-23 negara," ujar Yusri.

Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu ditemui selepas perlawanan liga dengan Terengganu FC (TFC) II di Kuala Terengganu, malam tadi, yang berkesudahan seri 2-2.

Kelantan beraksi baik apabila mendahului menerusi jaringan Nik Azli Nik Alias pada minit ketiga dan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-22.

TFC II, begitupun, dua kali menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma Ahmad Takhiyuddin Roslan pada minit ke-10 dan ke-68.

"Ini satu mata yang berharga dengan pebagai masalah di Kelantan. Pemain-pemain berjaya mengikut arahan dan memberi komitmen," katanya.