Selepas berkongsi mata dengan UiTM FC, Jumaat lalu, ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, mengganggap satu lagi tugas sukar perlu ditempuhi pemainnya apabila turun menentang pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Kebimbangan itu mudah difahami kerana TRW bakal berdepan dengan kerakusan jentera serangan Harimau Selatan yang baru sahaja membelasah Terengganu FC II (TFC II) 5-0 di Pasir Gudang.

"Kita akan menghadapi satu lagi pasukan yang sedang berjuang merebut kejuaraan liga dan memiliki jumlah jaringan yang banyak.

"Ya, saya anggap tugas yang sukar kerana pemain JDT II bukan pemain muda, bukan pemain baru tetapi mereka adalah kelompok pemain yang sinonim dengan Liga Malaysia.

"Jadi, harap-harap pemain saya tidak terlalu menghormati mereka. Kami perlu fokus dan cuba untuk tidak melepaskan gol serta mendapatkan mata dalam aksi malam esok," katanya.

Yusri juga mahukan benteng pertahanan yang diketuai kapten, Farisham Ismail, merantai bekas penyerang utama TRW, Mohammed Ghaddar, yang pasti ingin melakukan sesuatu di stadium yang pernah menjulang namanya itu.

"Kami akui mereka (JDT II) pasukan yang banyak menjaringkan gol dan besar kemungkinan Ghaddar kembali untuk beraksi di sini.

"Dia juga sudah pasti ingin menonjolkan kembali dirinya setelah meninggalkan Kelantan untuk bersama dengan JDT," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Yusri lega apabila dapat menggunakan kembali khidmat pertahanan kiri, Muhammad Azwan Aripin, untuk mengekang jentera serangan lawan.

"Saya juga berharap kehadiran semula Danial Haqim Draman yang baru pulih daripada kecederaan, dapat membentuk gandingan yang baik bersama Nik Akif Syahiran (Nik Mat) bagi menguasai kawasan tengah," katanya.