Yusri akui tiga jaringan awal bunuh semangat TRW

Oleh Farizal Yusoff 19 Mei 2019 2794
Yusri akui tiga jaringan awal bunuh semangat TRW
Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui tiga jaringan awal tuan rumah telah membunuh semangat perjuangan anak buahnya ketika berdepan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dalam saingan Liga Perdana malam tadi.

Yusri berkata jaringan penyerang kelahiran Brazil, Jose Almir Neto dan Igor Luiz, dalam 30 minit babak pertama menyebabkan pemainnya tertekan dan memusnahkan hajat mahu mengutip mata di gelanggang lawan.

“Saya kurang berpuas hati dengan persembahan keseluruhan pemain dalam aksi babak pertama sehingga kami ketinggalan dengan tiga jaringan.

“Namun, mereka (pemain) telah mengubah sikap dan keinginan untuk bersaing dalam babak kedua dan akhirnya kami mendapat jaringan melalui sepakan penalti,” katanya.

Ditanya keputusan untuk menurunkan pertahanan import, Cassio De Jesus, biarpun permain itu belum cergas sepenuhnya, Yusri berkata kehadiran pemain itu penting bagi membakar keyakinan pemain muda Kelantan.

"Alhamdulillah, Jesus nampak tidak terganggu dengan kecederaan itu biarpun saya akui tahap keyakinannya tidak seperti dahulu.

"Namun,  kehadirannya sedikit-sebanyak dapat menyuntik semangat pemain muda Kelantan dan harap juga dapat mengubah kedudukan pasukan ini dalam aksi akan datang,” katanya.

Dalam aksi malam tadi, Negeri Sembilan yang dikendalikan jurulatih berpengalaman, Mohd Zan Mat Aris, mendapat jaringan pertama melalui penyudah berbisa penyerang import, Almir Neto, pada minit kelima.

Skuad Hoben Jang Hoben terus selesa mendahului apabila Luiz berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-26 dan 28 untuk Negeri Sembilan mendahului 3-0.

Kelantan mendapat jaringan sagu hati melalui sepakan penalti yang disempurnakan pemain tengah kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, pada minit ke-68. 

Kekalahan keenam malam tadi menyaksikan Kelantan terus berada di tangga tercorot liga dengan lapan mata manakala Negeri Sembilan berada di tangga kelima dengan 19 mata daripada 12 perlawanan.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen