Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui ketiadaan pemain import menjadi punca utama kekalahan besar 1-4 The Red Warriors (TRW) kepada tuan rumah, Pulau Pinang, dalam saingan Liga Perdana di Stadium Bandaraya, semalam.

Yusri berkata, biarpun Kelantan menguasai sebahagian besar permainan, namun keupayaan pemain tempatan yang kurang berpengalaman menyebabkan Pulau Pinang mudah mengambil peluang.

"Beza Kelantan dan Pulau Pinang malam ini adalah pemain import.

"Bukan saya mahu memberikan alasan di atas kekalahan besar ini.

"Bukan juga saya menidakkan kemampuan pemain tempatan.

"Tetapi, penyokong boleh lihat, biarpun kami menguasai sebahagian besar permainan, kami masih gagal menjaringkan gol atau sekurang-kurangnya menguasai bola lebih lama.

"Tanpa empat pemain import, kami gagal memberikan cabaran yang kuat.

"Hakikatnya, pemain import memainkan peranan yang penting dalam Liga Perdana dan Liga Super," katanya.

Ditanya mengenai cabaran lebih getir yang menantinya selepas ini, Yusri mengakuinya sambil berharap dia mampu membawa Kelantan untuk kekal bersaing dalam Liga Perdana musim depan.

"Saya cuba untuk memastikan Kelantan tidak turun liga.

"Ini adalah perkara utama.

"Bagaimanapun, ia menjadi cabaran besar untuk saya apabila tidak dapat menggunakan khidmat pemain import sepanjang musim ini dan pemain sedia ada juga amat terhad.

"Kami juga tidak mampu untuk ketinggalan jauh dengan pasukan dalam kelompok pertengahan seperti Negeri Sembilan, UKM FC dan Sarawak.

"Kalau boleh, saya mengharapkan agar perlawanan yang melibatkan mereka juga berakhir dengan kekalahan.

"Agak mustahil untuk bekerja seperti ini.

"Cuma, kami tidak boleh mengalah awal.

"Kami kena terus beri tekanan kepada pasukan-pasukan tadi supaya Kelantan tidak terus berada di dasar liga," tambahnya.

Kekalahan kelima malam tadi menyaksikan Kelantan terus berada di tangga tercorot liga dengan lapan mata manakala Pulau Pinang berada di tangga kelapan dengan 12 mata daripada 12 perlawanan.