Pemain pertahanan Kelantan, Shahrul Nizam Ros Hasni, yakin ketua jurulatih, Yusri Che Lah, merancang taktikal khusus untuk menewaskan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad lV, Sabtu ini.

Pemain muda itu mendakwa setiap jurulatih sudah tentu mempunyai taktikal berbeza bagi membantu pasukan yang dibimbing mencuri mata dalam setiap perlawanan.

“Sudah tentu sebagai pemain, kami perlu bersedia untuk melaksanakan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih, terutama Yusri Che Lah yang baru sahaja kembali ketika kedudukan pasukan berada di tangga tercorot (ketika ini).

"Kami yakin beliau mampu merangka strategi terbaik bagi menewaskan Negeri Sembilan ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mendapatkan kembali khidmat Yusri sebagai ketua jurulatih The Red Warriors (TRW) bagi menggantikan Marko Kraljevic yang meletak jawatan.

Musim lalu, Yusri dipertanggungjawabkan untuk membimbang Kelantan sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, awal musim ini.

Beliau kemudiannya meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan itu susulan desakan daripada penyokong.

Dalam pada itu, Shahrul Nizam berkata dia dan rakan sepasukan perlu bekerja keras untuk memperoleh mata dalam perlawanan tersebut.

"Tidak cukup hanya dengan taktikal jurulatih, sebaliknya kami perlu bekerja lebih keras berbanding perlawanan sebelum ini dan kami perlu menggunakan peluang yang ada serta tidak banyak melakukan kesilapan sehingga menyebabkan kami tewas.

"Hanya kemenangan yang dapat mengembalikan keyakinan penyokong terhadap kemampuan kami untuk terus memberi saingan dalam Liga Perdana," katanya.

Untuk rekod, di bawah bimbingan Kraljevic, Kelantan hanya meraih satu kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan daripada lapan perlawanan sebelum ini.

-- BERNAMA