Pemain import baru berwibawa pikul cabaran UiTM FC

Oleh Staff Writer 3 Januari 2018 2351
Pemain import baru berwibawa pikul cabaran UiTM FC
UiTM FC semakin menemui pengganti Akanni-Sunday Wasiu dan Do Dong-hyun untuk saingan musim baru ini apabila hampir memuktamadkan perjanjian untuk mendapatkan penyerang dari Cameroon, Sielinou Jim's Guy, dan Lucas Ramon Pugh dari Argentina. 

Menurut jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail, kedua-dua pemain terbabit hampir pasti 80 peratus menyertai UiTM FC setelah berjaya memikat panel kejurulatihan dalam beberapa aksi persahabatan. 

Sielinou dilihat mempunyai fizikal hampir serupa dengan Akanni-Sunday manakala Lucas hadir dengan reputasi besar selaku bekas penyerang skuad B-23 Argentina. 

"Pemain baru ini mirip permainan Akanni-Sunday sebagai penyerang tunggal, tinggi dan kuat manakala seorang lagi pemain import pernah mewakili pasukan B-23 Argentina. 

"Apa yang saya lihat, ketajaman penyudah mereka cukup bagus," kata Wan Mustaffa yang membawa UiTM menamatkan saingan di tangga keenam Liga Perdana musim lalu. 

Tambah Wan Mustaffa, mereka sedar tekanan pasti hadir apabila akan ada pihak yang membandingkan kedua-duanya dengan dua import terdahulu yang menunjukkan prestasi cemerlang. 

Justeru, dia berharap mereka mampu menjelmakan prestasi yang hampir serupa bagi memastikan UiTM FC kekal menjadi pencabar di pentas Liga Perdana. 

"Saya yakin mereka boleh bertindak, malah lebih baik lagi, dan saya menyasarkan mereka dapat menyamai rekod 33 gol (gandingan gol Akanni-Sunday dan Dong-hyun) musim lalu. 

"Saya yakin dengan apa yang saya lihat, begitu juga anak-anak buah saya yang lain. 

"Ini membolehkan kami menumpukan perhatian kepada persiapan," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen