Pengendali Sabah, Steve Vilmiaire, akan mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utamanya sebelum ini apabila turun melayan kunjungan ATM FA di Stadium Likas, malam ini.

"Selain Igor (Cerina) yang digantung satu perlawanan, kami akan mengekalkan kesebelasan ketika bertemu Perlis tempoh hari dengan hanya membuat sedikit perubahan.

"Berkenaan siapa yang akan bermain, saya tidak boleh mendedahkannya, saya ada strategi untuk perlawanan ini tapi saya tidak mahu banyak bercakap mengenainya," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Kota Kinabalu, semalam.

Vilmiaire berkata beliau kemungkinan juga akan mengekalkan pemain dari skuad Piala Presiden, Hamran Peter, dalam kesebelasan utamanya malam ini.

Terdahulu, dalam perlawanan bertemu Perlis, Jumaat lalu, Sabah menurunkan dua pemain dari pasukan Piala Presiden, iaitu Hamran Peter dan O'Neil Shanahan Marcellinus.

Percaturan itu ternyata membuahkan hasil apabila berjaya menewaskan skuad Singa Utara itu 3-1, sekali gus mencatat kemenangan pertama mereka selepas kecundang dua perlawanan berturut-turut sebelum ini.

"Sudah pasti objektif kami untuk perlawanan ini (bertemu ATM) adalah mengutip tiga mata di gelanggang sendiri selain mengekalkan persembahan baik kami.

"Kami juga mahu mewujudkan persekitaran positif dengan mencatat kemenangan dalam perlawanan ini. Agak sukar bagi kami membentuk sebuah pasukan tetapi mudah untuk ia 'musnah'.

"Setiap pemain perlu meneruskan kerja keras mereka dan mengekalkan mentaliti untuk menang. Jika kami melakukan sedemikian, saya yakin keputusan yang baik akan datang, saya yakin dengan pemain saya," katanya lagi.