Biarpun sudah mencecah usia 33 tahun, pemain sayap ATM FA, Venice Elphi, masih dipertanggungjawabkan menjadi perancang utama pasukan apabila dia memperagakan persembahan memukau ketika bertemu MISC-MIFA dalam aksi Liga Perdana, semalam.

Venice adalah antara tonggak veteran yang masih membarisi pasukan ATM musim ini.

Pada usia 33 tahun, Venice masih lincah untuk membolosi benteng lawan dan menjadi arkitek penting dalam menjana kesemua tiga gol ATM dalam pertemuan itu.

Sempena musim 2017, Venice juga menyimpan azam untuk menambah koleksi gol bagi membantu pasukannya mencapai kedudukan terbaik dalam liga.

"Saya bersyukur dan tak sangka mencapai kemenangan ini di tempat lawan.

"Pada awalnya, kami menyasarkan untuk memungut sekurang-kurangnya satu mata dan kemenangan ini bonus buat kami.

"Saya berpuas hati dengan komitmen yang diberikan rakan sepasukan dan saya berharap kami dapat mengekalkan momentum ini," katanya.

Bagi pengendali ATM, Azhar Abdullah, kehadiran pemain dari suku Bidayuh itu penting dalam menaikkan moral pemain, terutamanya pemain muda yang tiada pengalaman beraksi dalam Liga Perdana.

"Venice merupakan pemain paling berpengalaman bagi pasukan kami.

"Dengan umur yang semakin meningkat, dia masih lagi memberi sumbangan besar kepada ATM.

"Dia adalah pemain terbaik kami," kata Azhar.