Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria, menaruh kepercayaan kepada penyerang import baru, Silva Calijuri, bagi merakamkan tiga mata di laman sendiri menjelang pertemuan dengan Selangor United, malam ini.

Calijuri hadir untuk menggantikan Robert Mendy yang mengalami kecederaan hamstring dan memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk pulih sepenuhnya.

Harapan kini diletakkan kepada bekas pemain Selangor United itu yang dipancing daripada Liga Myanmar yang dianggap pilihan terbaik untuk memastikan kemenangan kesembilan musim ini.

Meskipun berada di puncak liga ketika ini, Ismail mahu pasukannya kekal berwaspada dengan ancaman lawan.

"Saya berharap Calijuri dapat membantu UiTM untuk terus memungut mata dalam pusingan kedua Liga Perdana.

"Saya juga mengharapkan penyudah baik daripada mereka," katanya.

Ismail turut menggesa pemainnya agar mengambil pengajaran ketika menentang Sarawak, Sabtu lalu, berikutan hanya menjamin kemenangan 2-1 pada saat-saat akhir.

"Kami menang 2-1 tetapi corak permainan kelihatan agak layu. Pemain mungkin tidak fokus dan ambil mudah sehingga menyaksikan kemenangan kami Sabtu lalu tampak agak sukar.

"Saya harap pemain lebih fokus dan bekerja lebih kuat untuk mengekalkan momentum," katanya lagi.