Hasrat Perlis untuk memulakan aksi pertama Liga Perdana musim ini dengan mata penuh tidak kesampaian setelah tewas 1-2 kepada UKM FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Perlis, yang dipalit dengan isu gaji ketika pra-musim, tetap cuba menurunkan kesebelasan terbaik biarpun tiada kelibat Muhammad Badhri Radzi dan Khyril Muhymeen Zambri di bangku simpanan sementara UKM cuba bersaing tanpa barisan pemain bintang dalam skuad mereka.

UKM bimbingan Sulaiman Hussin itu terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-20 walaupun beraksi di atas keadaan padang licin akibat hujan dan kilat apabila larian solo Faiz Hanif Adnan diakhiri dengan jaringan.

Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman meletakkan nama dalam senarai penjaring pada minit ke-55 untuk menjadikan kedudukan 2-0, sekali gus menambah tekanan buat anak buah Manzoor Azwira Abdul Wahid itu.

Walaupun tonggak import skuad Singa Utara, Valci Teixeira Junior, merapatkan jurang menerusi tandukan kemas menewaskan Daniel Wafiuddin enam minit kemudian, kedudukan 2-1 tidak berubah sehingga wisel penamat dibunyikan.

Bagaimanapun, Manzoor Azwira ketika ditemui berpuas hati dengan persembahan pasukannya walaupun mengakui sedikit terkilan dengan kekalahan yang dialami.

"Sebenarnya, keputusan ini agak mengecewakan tetapi saya rasa bangga kerana pemain Perlis berusaha gigih dan berjuang kerana dari babak pertama sehingga penghujung perlawanan, kami meraih banyak peluang. Cuma, ia tidak diakhiri dengan gol," katanya.

"Saya agak berhati-hati dengan perlawanan ini kerana sejarah musim lalu menyaksikan apabila kami berdepan Marcerra yang bermasalah, kami kalah," ujar Sulaiman pula.

"Saya sudah berpesan kepada pemain, walaupun pelbagai cerita berkaitan mereka (Perlis) didengari, saya mahu pemain fokus. Perlawanan pertama adalah penentu dalam perjalanan liga."