UKM FC semakin memperkasakan skuad mereka untuk memberi saingan dalam Liga Perdana selepas berjaya menyambar penjaring terbanyak Liga Kemboja musim lalu, Atuheire Kipson.

Kipson menjadi pemain import kedua yang ditandatangani selepas pemain tengah, Nam Se-in dari Korea Selatan.

Dia digelar mesin gol di kelab lamanya, Nagaworld FC, susulan meledak 28 gol dalam 23 penampilan untuk membantu pasukannya berada di tangga keempat Liga Kemboja.

Pemain berusia 25 tahun itu kini memburu hasrat sama dengan UKM FC untuk muncul penjaring terbanyak Liga Perdana 2018.

"Saya perlu mencabar diri sendiri dan melakukan lebih baik lagi.

"Saya selalu fikir untuk mendapatkan cabaran baru dan ini adalah peluang saya untuk mencuba suasana baru," kata penyerang berasal dari Rwanda itu.

Sementara itu, jurulatih UKM, Sulaiman Hussein, mendedahkan dia mempertimbangkan untuk menandatangani dua pemain yang diuar-uarkan sebelum ini, Ryutaro Karube dan Shahfiq Ghani.

Kehadiran pemain pertahanan, Waheed Oseni, dari Nigeria yang turut menjalani pemilihan membuatkan dia berada dalam dilema untuk memenuhi baki dua slot import.

"Kami masih menanti Karube balik daripada masalah keluarga di Jepun.

"Namun, kami akan memberikannya sampai minggu ini sahaja. Kalau dia tidak datang, mungkin kami terpaksa fikirkan alternatif lain.

"Mengenai Shahfiq, kami masih mempertimbangkannya kerana kami sudah mengambil pemain import (Kipson) dari Liga Kemboja.

"Saya masih melihat keperluan untuk mengambil seorang lagi import di bahagian serangan," tambah Sulaiman.