UKM FC mencipta kejutan terbesar dalam saingan Liga Perdana semalam apabila meleburkan rekod tanpa kalah Felcra FC dalam 12 perlawanan menerusi kemenangan 2-0 Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Tiada siapa menjangka UKM mampu meraih sesuatu ketika bertemu Felcra walaupun skuad kendalian Sulaiman Hussin itu menang dalam dua perlawanan terakhir liga.

Bagaimanapun, status 'underdog' tidak menghalang UKM bermula baik apabila meraih gol pendahuluan seawal minit kelima menerusi Faiz Hanif Adnan yang menanduk cantik hantaran Syafiq Azri Ahmad Kamal.

Felcra yang terkejut dengan jaringan itu bingkas mencari gol penyamaan dan Aselmo Arruda Da Silva sepatutnya meletakkan kedudukan 1-1 tetapi tandukannya kurang tepat.

Peluang terbaik untuk UKM menggandakan kedudukan pada minit 28 gagal disambar Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman yang sedikit terlepas menyudahkan hantaran jarak jauh Redouane Zerzouri.

Pada minit ke-39, kesilapan penjaga gol, Fadzley Rahim, yang gagal menangkap kemas bola sepakan penjuru membawa padah apabila pantas dihukum Michael Ijezie.

Babak kedua memperlihatkan perancangan Felcra untuk memburu jaringan, namun terus buntu dengan dua pertahanan tempatan, Alif Jamaluddin dan Hafizudin Sulaiman, yang beraksi penuh cemerlang bagi memastikan hadiah Syawal cukup bermakna buat UKM.

"Alhamdulillah, pemain-pemain menunjukkan semangat yang tinggi kerana dapat menewaskan Felcra.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan, pemain dan pengurusan kerana membantu saya.

"Akhirnya, kami dapat mencatatkan satu keputusan yang membanggakan," kata Sulaiman.

"Gol pertama itu hasil kesilapan yang tidak boleh diulangi. Ia terhasil menerusi gerakan hantaran pendek semasa sepakan penjuru.

"Kami tidak sepatutnya dibolosi seperti itu. Apapun, saya akui UKM beraksi hebat hari ini, mereka sememangnya berhak (untuk menang).

"Ini permainan terburuk pernah kami pamerkan," ketua jurulatih Felcra FC, Tarcisio Pugliese.