Berada di tangga kedua terakhir dalam carta Liga Perdana membuatkan UKM FC mula menekan butang panik apabila dijangka akan melakukan dua pertukaran pemain import, terutama bagi memperkuatkan jentera serangan yang masih kurang menyengat.

Ketua jurulatih UKM, Sulaiman Hussin, sudah mula mempertimbangkan dua import yang akan dilepaskan sambil meletakkan keutamaan untuk membawa masuk dua penyerang.

Antara kemungkinan yang bakal dilakukan adalah membawa masuk bekas penyerang MISC-MIFA pada tahun lalu, Michael Ijizie, yang pernah beraksi dalam Liga Perdana.

Selain itu, terdapat beberapa pemain import lain dari Korea Selatan dan Maghribi yang turut menjalani pemilihan bersama UKM.

"Untuk meningkatkan prestasi pasukan dalam pusingan kedua liga, saya akan melakukan beberapa pertukaran, terutama di bahagian serangan.

"Setakat ini, Kipson Athuheire hampir pasti akan direhatkan dan kami sedang menguji beberapa pemain import baru di bahagian depan," kata Sulaiman.

Dalam masa sama, UKM juga mendapatkan khidmat tiga bekas pemain Kuantan FA yang diketuai penjaga gol yang pernah beraksi bersama PKNS FC, Nor Haziq Aris, serta Muhammad Azmi dan Syafiq Azri.

"Saya mengharapkan sinar baru apabila menyertai UKM untuk memulakan semula karier. Walaupun sebuah pasukan daripada universiti, UKM tetap memberi cabaran sengit kepada pasukan lain dalam Liga Perdana berbekalkan pemain berkualiti," kata Haziq.

"Saya mengambil keputusan untuk membawa masuk beberapa pemain tempatan yang pernah melalui pengalaman di pentas Liga Super dan Liga Perdana kerana mereka dapat membimbing pemain-pemain muda kami yang sedang belajar, terutama Haziq yang mampu membantu kami dan dua pemain daripada Kuantan FA," tambah Sulaiman.