Ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, mahu anak buahnya mengambil kesempatan ke atas situasi Kelantan yang tempang tanpa beberapa pemain tonggak dalam misi mereka untuk meraih tiga mata di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Selepas dua perlawanan Liga Perdana, UKM FC mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan.

Kelantan pula masih belum mencapai sebarang kemenangan dengan hanya seri 3-3 dengan Sabah dan tewas tipis 0-1 kepada Selangor United.

Kelebihan kini memihak UKM FC apabila Kelantan tempang tanpa tonggak utama seperti Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni, Danial Haqim Draman dan Nik Azli Nik Alias yang dipanggil untuk menyertai skuad negara bagi menghadapi Kejohanan AFF B-22 di Kemboja.

Kesempatan itu mahu digunakan sebaik mungkin oleh UKM FC untuk mencari tiga mata yang akan melonjakkan kedudukan mereka dalam Liga Perdana.

"Bermain di laman sendiri tidak menjamin penguasaan perlawanan buat kami.

"Kelantan pasti akan turun dengan misi meraih kemenangan.

"Ia merupakan waktu terbaik untuk kami meraih kemenangan memandangkan tiga mata itu akan menentukan perjalanan kami dalam saingan Liga Perdana musim ini," katanya.

UKM FC juga mendapat perkhabaran gembira apabila pemain import, Alexander Tudose, akan kembali memperkuatkan benteng pertahanan pasukan itu meskipun tanpa kehadiran kapten pasukan, Mohd Akmal Mohd Zahir, yang dilayangkan kad merah ketika pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) sebelum ini.

"Beberapa pemain yang tercedera sebelum ini sudah pulih sepenuhnya dan saya berharap ia akan membantu kami mendapatkan keputusan yang lebih baik," tambahnya.