UKM FC mengambil pendekatan berbeza dalam tahun sulung mereka beraksi dalam Liga Perdana musim depan apabila mengambil tiga import dari benua Asia, termasuk Shahfiq Ghani dari Singapura.

Pengendali pasukan, Sulaiman Hussein, menjelaskan beliau lebih gemar pemain dari Asia bukan atas faktor kos, sebaliknya berasakan mereka lebih sesuai dengan corak liga tempatan.

Berpuas hati selepas menguji mereka sepenuhnya dalam beberapa aksi persahabatan, ketiga-tiga pemain terbabit akan ditandatangani dalam masa terekat.

Selain Shahfiq, UKM turut mendapatkan khidmat pemain dari Korea Selatan, Nam Se-in, yang pernah beraksi di Portugal dan Ryutaro Karube dari Jepun.

"Saya meletakkan mereka dalam kategori pemain berkualiti. Pada pendapat saya, pemain dari Jepun dan Korea Selatan mampu memberikan sokongan kepada pemain-pemain tempatan menghadapi perlawanan," katanya.

Sementara itu, Sulaiman turut mendedahkan bersedia untuk mengubah pendirian dengan mendapatkan pemain import keempat selepas pernah menyuarakan hanya mahu menandatangani tiga tonggak import.

"Apabila berhadapan penyerang import daripada pasukan, UKM kekurangan daripada segi fizikal. Jika pengurusan membenarkan, kami akan mendapatkan pertahanan import dari Afrika," tambahnya.