Walaupun bergelut dalam soal kewangan, UKM FC sama sekali tidak akan mengibar bendera putih dan tetap akan cuba bersaing di pentas Liga Perdana musim depan.

Biarpun sebahagian besar skuad musim ini telah dilepaskan, ia tidak bermakna pasukan UKM akan ditutup, sebaliknya memberi peluang kepada pemain terbabit mencari peluang lebih baik.

Jurulatihnya, Sulaiman Hussein, menjelaskan UKM kini dalam 85 peratus bersedia bagi menghadapi musim 2019.

Ditambah dengan pencapaian mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran, pihak pengurusan sedang giat memastikan mereka akan terus bernafas dalam saingan Liga Perdana.

"Kekurangan kewangan menjadi faktor pasukan melepaskan sebahagian besar pemain sebelum ini sementara kami berusaha untuk mencari sumber kewangan bagi menghadapi musim depan," katanya.

Kekal dengan formula sama memberikan platform kepada semua pelajar UKM, Sulaiman mendedahkan beliau mahu mengekalkan tiga daripada import musim lalu, antaranya penjaring terbanyak Piala Cabaran, Michael Ijezie serta Sein Nam dan Redouane Zerzouri.

"Ijezie, Sein Nam dan Zerzouri antara nama pemain yang bakal diusahakan pasukan untuk menawarkan kontrak bagi menghadapi musim depan. Tetapi ia bergantung kepada mereka untuk bersetuju ataupun sebaliknya."