UiTM kekal di tangga ketiga Liga Perdana selepas gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sedakar seri 3-3 menetang Pulau Pinang di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.

UiTM turun berdepan Pulau Pinang dengan misi mengutip tiga mata penuh bagi meletakkan mereka di kedudukan dua terbaik Liga Perdana.

Skuad bimbingan Ismail Zakaria itu berada di depan seawal minit ke-11 melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten mereka, Zarko Korac.

Tersentak, pasukan pelawat bangkit untuk memburu gol penyamaan dan usaha mereka akhirnya berhasil menerusi rembatan Anselmo Arruda da Silva pada minit ke-33.

Kedudukan itu tidak bertahan lama selepas UiTM menambah jaringan menerusi Mohammad Amer Azahar di penghujung separuh masa pertama.

Namun, perlawanan dicemari insiden pergaduhan apabila kapten Pulau Pinang, Kang Seung-jo, dikasari oleh pemain tuan rumah.

Memasuki babak kedua, Pulau Pinang mengikat kedudukan 2-2, sekali lagi melalui Anselmo Arruda pada minit ke-47.

Korac selepas itu menggandakan kelebihan buat tuan rumah selepas bijak menewaskan Zamir Selamat pada minit ke-59.

Tidak lama kemudian, Amer meraih kad kuning kedua dan Wan Mohd Syukri Wan Ahmad dilayangkan kad merah, menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Anselmo Arruda melakar hatrik bagi meletakkan Pulau Pinang di kedudukan 3-3 sebelum wisel penamat ditiupkan.

"Saya sangat berbangga dengan semangat yang dipamerkan pemain-pemain saya tetapi jaringan pada penghujung permainan itu sukar untuk dielak," kata Ismail.

"Saya tidak menjangkakan perlawanan yang sengit berdepan UiTM. Mereka merupakan antara yang terbaik dalam Liga Perdana. Saya berpuas hati dengan satu mata yang diraih," kata jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira.