Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, sedang mengintai pemain kebangsaan Kyrgyzstan, Akhilidin Israilov, bagi memperkuat jentera serangan pasukannya sempena jendela perpindahan kedua yang dibuka hingga 29 Mei ini.

Kelibat Akhilidin menarik minat Ismail yang sememangnya mahukan pengganti Robert Mandy selepas penyerang itu mengalami kecederaan jangka panjang.

Walaupun masih di peringkat perbincangan, Ismail menegaskan pemain itu hampir pasti akan menyertai UiTM FC dalam masa terdekat.

"Dia merupakan pemain kebangsaan Kyrgyzstan yang beraksi dalam Piala Asia tempoh hari.

"Saya mungkin akan mengambilnya bagi memperbaiki pasukan saya," katanya.

UiTM FC ketika ini berada di tangga ketiga Liga Perdana dengan hanya menggunakan khidmat pelajar institusi pengajian tinggi itu sambil dibantu tonggak import.

Dengan perbezaan empat mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ismail yakin pasukannya mampu mengakhiri saingan di kedudukan terbaik musim ini.

"Motivasi tidak ada tetapi saya nampak permainan yang menarik.

"Ia menarik kerana pemain import banyak membantu.

"Apabila Robert Mandy tercedera selama enam minggu, ia merupakan satu masalah kepada saya.

"Ia merencatkan perancangan pasukan kami

"Jadi, saya merancang untuk melakukan perubahan dalam masa terdekat," tambahnya.