Ketiadaan penjaring terbanyak, Zarko Korac dan Robert Mendy, menjadi punca UiTM FC tumpas 0-1 kepada Terengganu FC II (TFC II) dalam perlawanan Liga Perdana di Kuala Terengganu, malam tadi.

Jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, mengakui barisan mudanya itu mengharapkan sentuhan dua tonggak import berkanaan yang masing-masing digantung perlawanan dan cedera.

Malah, ia jelas kelihatan bahawa skuad bimbingannya itu ketandusan idea walaupun berupaya mengimbangi permainan dan dikecewakan dengan ketumpulan serangan.

"Saya tidak menyalahkan pemain-pemain tempatan.

"Mereka beraksi dengan baik tetapi jika ada Korac dan Mendy, keputusan pasti berbeza.

"Masih ada sikap merendah diri kerana majoriti pemain kami adalah pelajar universiti dan mungkin juga disebabkan faktor kecergasan, namun saya tetap positif," katanya.

Jaringan tunggal pemain TFC II, Bruno Suzuki, pada minit ke-51 meranapkan hasrat pelawat untuk merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, yang turut tewas.

UiTM FC, begitupun, kekal di tangga kedua dengan 20 mata, lima mata di belakang JDT II sambil TFC II di tangga ketiga, sekurang-kurangnya hingga hari ini.

"Aksi dalam bulan puasa selepas ini agak merisaukan saya kerana jadual mereka sebagai pelajar agak ketat.

"Saya tetap akan fokus dengan misi membantu mereka menamatkan pelajaran dan bermain bola sepak secara profesional," tambahnya.