Tiada nama besar dipancing pasukan UiTM FC untuk mengharungi baki Liga Perdana musim ini, sebaliknya mereka menawarkan kontrak yang dianggap penyelamat karier bagi tiga pemain baru yang dibawa masuk.

Tiga pemain yang ditandatangani itu adalah Che Mohd Safwan Hazman Che Hassan dari pasukan Perlis, Arman Fareez Mohd Ali dari Pulau Pinang dan penjaga gol, Mohd Hafidz Romly dari Terengganu FC II.

Safwan dan Arman, yang beraksi di posisi pertahanan, menyifatkan tawaran yang diberikan UiTM kepada mereka sebagai talian hayat untuk meneruskan karier sebagai pemain bola sepak selepas majikan lama mereka masing-masing menghadapi krisis dalaman.

"Tiada perbezaan berbanding pasukan lama, cuma di Pulau Pinang ramai pemain berpengalaman, di sini ramai pemain muda. Itu yang berbeza. Daripada segi teknik dan gaya permainan, semuanya sama, " kata Safwan.

"Saya bersyukur dan menganggap ini adalah rezeki. Kita tahu UiTM satu tahap lebih baik berbanding Perlis dalam Liga Perdana. Apabila ada masalah kewangan di Perlis, ia satu rezeki boleh berada di sini," kata Fareez.

Dalam pada itu, UiTM bakal melayan kunjungan pendahulu liga, Felda United, di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.

Jurulatih UiTM, Wan Mustaffa Wan Ismail, optimis misi tiga mata di laman sendiri adalah tidak mustahil setelah Felda baru sahaja mengalami kekalahan pertama 3-0 dalam liga kepada MISC-MIFA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, 12 Mei lalu.

"Sudah terbukti, Felda mengalami kekalahan pertama. Jadi, terbukti pasukan itu boleh dikalahkan.

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati kerana kami tahu mereka umpama singa yang cedera. Mereka mahu bangkit untuk memastikan mereka pasukan kegemaran. Kami perlu sedar kami bermain di gelanggang sendiri," katanya.