Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria, tidak akan mudah termakan dengan tipu daya ejen yang cuba memujuknya mengambil beberapa awang import untuk diserap ke dalam pasukannya biarpun masa kian suntuk untuk UiTM mendaftarkan pasukan bagi saingan liga musim 2019.

Berbaki 10 hari sahaja lagi sebelum sepak mula Liga Perdana 2019, UiTM masih giat mencari awang import untuk mengisi satu lagi kekosongan.

Ketika ini, UiTM sudah pun mengikat khidmat penyerang, Adi Said dari Brunei, pertahanan dari Sudan, Bernard Agele Coulibally, serta Robert Lopez Mendy, yang juga seorang penyerang yang pernah beraksi di Filipina manakala untuk pemain tempatan, tiada pertukaran drastik.

Bagaimanapun, jika dalam tempoh ini barisan pemain import yang hadir ke sesi pemilihan masih gagal menepati kehendak Ismail, dia akan membiarkan kuota itu tidak diisi sehingga jendela perpindahan kedua pada Mei depan bagi mendapatkan pemain import yang berkualiti.

"Sudah ramai pemain import yang datang mencuba nasib dan saya kenal ejen-ejen mereka.

"Saya sudah menyatakan ciri-ciri pemain yang dihajati dan saya tidak terpikat dengan tawaran mereka.

"Sesetengah daripada mereka telah diberi kesempatan untuk mengikuti latihan kami selama dua minggu untuk saya memastikan sejauh mana kualiti mereka," kata Ismail.

Mengulas mengenai penarikan diri penyerang tempatan, Anwarul Hafiz Ahmad, yang mengambil keputusan untuk beraksi bersama skuad ragbi 7's negara, Ismail tidak terkilan, sebaliknya menganggap masih ada beberapa lagi pemain yang mampu mengisi kekosongan ditinggalkannya.

"Saya mengikuti perkembangannya, termasuk aksinya dalam perlawanan, termasuk dalam kempen Kejohanan Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE), kemampuannya agak terbatas serta kerap mengalami kecederaan.

"Oleh itu, ada pemain yang lebih baik dan boleh diketengahkan," tambahnya.