UiTM FC 1 FELDA UNITED 4

Pendahulu Liga Perdana, Felda United, tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata berharga selepas menundukkan UiTM FC 4-1 di tempat lawan, semalam.


Felda sebelum ini mengalami kekalahan mengejut 3-0 kepada MISC-MIFA minggu lalu dan ternyata mereka kembali bangkit sewaktu berdepan UiTM.

Dalam aksi di Stadium UiTM itu, tuan rumah yang dikendalikan oleh Wan Mustaffa Wan Ismail terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Sadam Hashim pada minit ke-26 sebelum pelawat membalas gol menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-41.

UiTM terus tertekan apabila skuad kendalian B. Sathianathan itu menggandakan jaringan seminit kemudian menerusi pemain import, Thiago Augusto, untuk meletakkan The Fighters di depan dalam babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, giliran Thiago Junior Aquino untuk menghadiahkan gol ketiga pada minit ke-74 sebelum Christie Jayaseelan menjaringkan gol ke keempat pelawat ketika aksi berbaki enam minit untuk ditamatkan.

UiTM cuba mengejar untuk merapatkan kedudukan, namun benteng skuad The Fighters bertahan dengan baik untuk mengekalkan keputusan 4-1 sehingga tamat perlawanan.

"Kami dapat mendahului dalam babak pertama tetapi kesilapan-kesilapan mudah telah dilakukan oleh pemain-pemain selepas itu. Kami perlu mengelakkannya, terutaman apabila berdepan pasukan berpengalaman," ujar Wan Mustaffa.

"Semuanya menjadi, cuma cara mengeluarkan bola di dalam kawasan penalti harus dipertingkatkan kerana ia menyebabkan gol pertama lawan.

"Semua pemain tidak berputus asa dan bermain seperti biasa. Hasilnya, kami meraih empat gol," kata Sathianathan.