Pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, mengakui minat mendapatkan kembali khidmat bekas awang import pasukan itu, Do Dong-hyun, namun berasa ia mungkin sukar untuk terlaksana.

Bagi Wan Mustaffa, sukar membawa Dong-hyun kembali ke UiTM FC kerana pemain Korea Selatan itu sedang menimbangkan tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super.

Wan Mustaffa juga akur sukar buat UiTM memberikan tawaran yang lebih baik berbanding pasukan daripada Liga Super.

Dong-hyun menyertai Kelantan musim ini selepas cemerlang bersama UiTM FC musim lalu, namun difahamkan kelibatnya tidak diperlukan pengendali Kelantan, Fajer Ibrahim.

"Saya berasakan perkara itu tidak akan berlaku. Saya telah difahamkan Kelantan telah menggugurkannya dan dia kini dalam radar beberapa pasukan," kata Wan Mustafa.

Sementara itu, Wan Mustaffa enggan memandang mudah cabaran UKM FC dalam aksi Liga Perdana, Sabtu ini, walaupun pasukan kendalian Sulaiman Hussin itu kini di tangga tercorot liga.

Bagi Wan Mustaffa, ia penting buat pasukannya merakam tiga mata dalam perlawanan itu untuk terus merapati dua tempat teratas liga bagi memastikan impian ke Liga Super tercapai.

"Kami hanya dibezakan dengan penghuni tempat kedua dengan empat mata dan kami akan terus mempamerkan aksi cemerlang bagi memastikan UiTM tidak ketinggalan."

Imej: Asiana