Pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, menegaskan mereka kini di tahap bersedia menjelang aksi getir berdepan Terengganu pada Jumaat nanti dalam usaha mencipta sejarah layak ke Piala Malaysia.

UiTM kini berada di tangga kelima Liga Perdana dan perlu mempertahankan kedudukan itu dalam dua perlawanan terakhir andai mahu layak ke Piala Malaysia.

Justeru, Wan Mustaffa berharap kelebihan bermain di tempat sendiri, bermula dengan menentang Sang Penyu, akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain-pemainnya.

Selesa dengan status 'underdog' terhadap UiTM, dia melihat situasi itu tidak akan meletakkan pemain-pemainnya beraksi di bawah tekanan.

"Saban tahun, pencabar kami menganggap UiTM sebagai lubuk tiga mata tetapi situasi itu sudah sedikit berbeza pada tahun ini.

"Pasukan lain sudah mula menghormati kami kerana menyedari kami bukanlah pasukan belasahan.

"Saya harap kami dapat mengekalkan prestasi ketika ini.

"Dua penyerang kami sedang menduduki senarai penjaring terbanyak -- Akanni Sunday Wasiu dan Do Dong-hyun, masing-masing dengan tujuh gol.

"Dengan sokongan sebagai sebuah pasukan, saya berasakan kami tidak mempunyai tekanan untuk menghadapi dua pasukan yang berada di atas kami, iaitu Terengganu dan PKNP FC," katanya.

Wan Mustaffa juga menjelaskan kedudukan UiTM pada musim ini banyak dibantu dengan kehadiran empat tonggak import yang menjadi nadi pasukan.

Dia kagum melihat semangat juang tinggi pemain importnya walaupun terpaksa beraksi dengan majoriti bakat tempatan yang terdiri daripada mahasiswa dan cetek pengalaman.

"Pada awal musim ini, kami telah meyakinkan dan menjadikan barisan import memahami situasi sebenar kami yang terdiri daripada mahasiswa dan pemain muda.

"Berdasarkan itulah, keempat-empat pemain import kami banyak membantu kami berada di tahap ini."