Kekalahan 2-1 kepada Sabah di tempat sendiri malam tadi hampir pasti memberi padah kepada Terengganu FC (TFC) II yang semakin terdesak di tangga tercorot Liga Perdana dengan berbaki dua perlawanan.

Pengendali pasukan, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, mengakui nasib skuad bimbingannya kini bagai telur di hujung tanduk dengan menghitung nasib tersingkir ke Piala FAM musim depan.

Tatkala hanya 17 mata dikutip daripada 18 perlawanan, TFC II gagal menepati sasaran menjuarai liga, sebaliknya persembahan longlai dipamerkan walaupun dibarisi adunan pemain muda, senior dan empat awang import.

"Secara matematik, TFC II terpaksa bergantung harap kepada pasukan dan keputusan perlawanan lain melibatkan UiTM FC, Pulau Pinang, Sarawak serta UKM FC.

"Kami belum mengaku kalah. Jadi, pemain-pemain tiada pilihan selain beraksi dengan 200 peratus dalam dua aksi terakhir bertemu Sarawak dan MISC-MIFA," kata Mustaffa Kamal.

Kelebihan beraksi di Kuala Terengganu juga disia-siakan TFC II dengan kekalahan terbaru malam tadi, yang dikecewakan kelonggaran benteng pertahanan serta ketumpulan jentera serangan.

Mustaffa Kamal menyifatkan pasukannya melepaskan peluang terbaik untuk keluar dari zon penyingkiran yang menyaksikan perbezaan mata dengan pasukan di tangga keenam hanya dipisahkan empat mata.

Kemenangan yang diharap mampu mengubah nasib TFC II tidak menjelma tatkala Sabah lebih unggul dengan jaringan pemain import, Hector Ramos (m-46) dan Rodoljub Paunovic (m-89) sebelum gol sagu hati Firas Mohd Tarmizi pada masa kecederaan belum memadai buat TFC II.

"Pemain-pemain sudah diberitahu bahawa (Hector) Ramos cukup berbahaya di udara dan jangan memberi peluang kepada pasukan lawan membuat hantaran.

"Sebaik sahaja kami bolos seminit selepas rehat, Sabah mengawal tempo permainan manakala kami bergelut untuk menyamakan kedudukan," tambahnya.