TRW, Nara United terikat seri di Kota Bharu

Oleh Farizal Yusoff 25 Januari 2020 2163
TRW, Nara United terikat seri di Kota Bharu
KELANTAN 1 NARA UNITED 1 

Tuan rumah, Kelantan, sekadar seri 1-1 dengan kelab dari Thailand, Nara United, dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.


Pengendali The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, menyenaraikan skuad utamanya yang disertai empat awang import, namun Nara United membuka jaringan melalui rembatan kencang Khoiree Abdullah untuk menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh, pada minit ke-18.

Kelantan menyerang bertali arus melalui gandingan penyerang import, Felix Chidi Odili dan Rhulani Manzini tetapi gagal memecah benteng pelawat yang diketuai kapten, Mohd Anas.

Kelantan hampir menyamakan kedudukan tetapi sepakan kencang penyerang import kelahiran Afrika Selatan, Manzini, tersasar biarpun penjaga gol Nara United, Jaridet Surachai, sudah tersilap langkah pada minit ke-40.

Pemain sayap, Mohd Nazrin Mohd Nawi, hampir menjaringkan gol penyamaan TRW, namun sepakan percuma di luar kawasan penalti ditanduk keluar pertahanan Nara United pada minit ke-60.

Lima minit kemudian, kapten, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, melepaskan rembatan kencang dari luar kawasan penalti hasil umpanan Nik Akif Syahiran Nik Mat yang tepat ke dakapan Jaridet.

Terdesak untuk memburu jaringan penyamaan, Yusri membuat dua pertukaran dengan memasukkan Mohamad Amirul Shafik Che Soh dan Mohd Khairul Asraf Ramli sambil mengeluarkan Manzini dan Kang Seung-Jo pada minit ke-80.

Pemain kebangsaan, Nik Akif Syahiran, menyelamatkan maruah tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan deras yang menewaskan Jaridet pada minit ke-83.


Kredit Foto: Kelantan FA



Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen