Tiket keluaran SAFA dapat kebenaran MFL

Oleh Willie Jude 14 Februari 2019 248
Tiket keluaran SAFA dapat kebenaran MFL
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini menegaskan mereka telah mendapat kebenaran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menjual tiket yang dikeluarkan sendiri oleh persatuan itu.

Pemangku presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata tidak timbul isu tiket palsu atau hasil penjualan tiket diseleweng seperti didakwa sesetengah pihak dalam aksi pertama Sabah bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebelum ini.

Dada perlawanan itu, katanya, terdapat dua jenis tiket yang dijual, iaitu tiket yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta 'tiket bermusim' yang dikeluarkan SAFA.

"Penjualan tiket bermusim itu telah mendpat kebenaran daripada pihak MFL dengan kesemua hasil jualan dimasukkan terus ke dalam akaun persatuan.

"Ini adalah salah satu usaha SAFA untuk menjana pendapatan sendiri bagi membolehkan pengurusan pasukan berjalan dengan baik, termasuk membayar gaji pemain dan lain-lain kerana bagi tiket yang dikeluarkan oleh MFL, SAFA perlu membayar levi terhadap hasil jualan tiket itu kepada MFL.

"Jadi, tidak timbul soal tiket palsu atau penipuan kerana kami telah mendapat kebenaran daripada MFL," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas perlawanan Liga Perdana di antara Sabah dan Terengganu FC II (TFC II), di Kota Kinabalu, hari ini.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata usaha yang dilakukan itu juga adalah selaras dengan saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mahu SAFA mencari dana mereka sendiri.

"SAFA tidak lagi mendapat dana daripada kerajaan dan oleh sebab itu, kami perlu mempelbagaikan cara untuk mencari dana. Kami mahu SAFA berada di landasan betul," katanya.
 

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen