UKM FC merakam kemenangan ketiga dalam saingan Liga Perdana musim ini selepas menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.

Sarawak turun dengan misi untuk terus merapati kelompok tiga pasukan teratas liga manakala UKM, yang menghuni tangga ke-11 selaku tuan rumah, berhajat meraih tiga mata dalam usaha memperbaiki kedudukan liga.

UKM terlebih dulu menguji benteng lawan menerusi percubaan Michael Ijezie pada minit ke-12, namun penjaga gol Ngap Sayot, Iqbal Suhaimi, berjaya menyelamatkan keadaan.

Usaha UKM akhirnya berhasil minit pada ke-20 apabila Faiz Hanif Adnan melepasi kawalan pertahanan Sarawak sebelum menewaskan Iqbal untuk gol pembukaan perlawanan.

Tersentak dengan jaringan itu, Sarawak mula menggandakan asakan dan usaha mereka berhasil apabila Bobby Gonzalez meraih gol penyamaan pada minit ke-27.

Memasuki babak kedua, UKM mula memperkemaskan gerakan mereka ke kawasan lawan.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-72, sekali lagi menerusi penyudah berbisa Ijezie yang melepasi kawalan pertahanan lawan.

UKM terus mendominasi perlawanan selepas itu tetapi gagal menambah jaringan.

"Saya dah cakap, kalau kami ingin keluar daripada kedudukan ke-11, inilah masa yang terbaik.

"Kalau kami boleh meneruskan kemenangan, kami boleh melompat beberapa anak tangga.

"Saya beritahu kepada pemain, saya tidak perlukan permainan cantik, saya nak tiga mata. Pemain menunjukkan semangat yang tinggi dan bersungguh-sungguh sehingga minit terakhir," kata jurulatih UKM, Sulaiman Hussin.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, Ian Gillian, memiliki pandangan tersendiri mengenai aksi pada Ramadan dengan berkata: "Saya tidak fikir pemain dapat memberikan segalanya kerana mereka beraksi pada Ramadan.

"Ada pemain yang mengalami kekejangan dan senario itu tidak berlaku sebelum ini.

"Saya menghormati tuntutan agama, namun saya percaya tidak sesuai untuk mengadakan perlawanan semasa Ramadan."

Kredit imej: UKM FC