Pengendali UKM FC, Sulaiman Husin, mengakui pasukannya tidak mempamerkan aksi menarik ketika menewaskan Sarawak 2-1 semalam tetapi menegaskan keutamaan mereka adalah tiga mata yang diraih.

Kemenangan ke atas Sarawak membolehkan UKM keluar daripada kelompok bawahan Liga Perdana.

Bagi Sulaiman, apa yang penting adalah pemain-pemain berjaya menerapkan segala perancangan taktikalnya untuk memastikan kemenangan.

"Saya telah memberitahu kepada pemain bahawa saya tidak memerlukan permainan yang cantik tetapi tiga mata. Kami telah mencuba yang terbaik dan gembira di atas kemenangan ini," katanya.

UKM ketika ini tidak tewas dalam tiga aksi terakhir dan Sulaiman mahu ia diteruskan selepas ini.

Sementara itu, pengendali Sarawak, Ian Gillian, mengakui pasukannya tidak dapat beraksi dengan baik ketika tumpas di tangan UKM.

Bagi Gillian, kekerapan Sarawak beraksi di laman lawan dalam bulan Ramadan turut memberikan kesan.

"Saya amat menghormati ibadah berpuasa yang dijalani setiap pemain beragama Islam dan mengakui pemain-pemain bergelut mempamerkan aksi yang terbaik. Sarawak akan terus cuba memberikan yang terbaik untuk aksi akan datang," katanya.

Imej: Asiana