Teka-teki siapa calon yang bakal diangkat sebagai presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan dalam Kongres Agung Luar Biasa (EGM) yang bakal berlangsung dalam masa terdekat masih menjadi tanda tanya.

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah, Kamarudin Mohamad, berkata pihaknya sudah menyenaraikan tiga nama tokoh yang difikirkan layak diberi peluang bagi mengembalikan maruah bola sepak Kelantan.

"Setakat ini, ada tiga calon, dua daripada mereka adalah orang politik dan mempunyai pengetahuan asas dalam bola sepak," katanya.

"Namun, gabungan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) masih belum membuat keputusan akhir siapa yang layak untuk mengemudi KAFA."

Dalam isu yang sama, Kamarudin berkata gabungan PBJ juga mempertimbangkan cadangan menyerahkan jawatan tertinggi dalam KAFA kepada tiga calon berkenaan

"Mungkin kami boleh melantik ketiga-tiga calon itu mengetuai jawatan tertinggi dalam KAFA seperti presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

"Apa yang kami lakukan ini bertujuan untuk menyelamatkan KAFA dan bukan semata-mata mencari presiden baharu sahaja.

"Kami bimbang jika langkah menyelamat tidak dilakukan dengan segera, KAFA akan bertambah parah."

Untuk rekod, seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz, menawarkan diri untuk menggantikan Bibi Ramjani sebagai presiden baharu KAFA.

Bagaimanapun, gabungan PBJ mempertikaikan kemampuan Amril Aiman sambil secara terbuka mengumumkan tidak akan memilih tokoh tersebut untuk mengisi jawatan kerusi panas KAFA itu.