Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menafikan wujud sebarang elemen pilih kasih sehingga menyebabkan kelayakan Pulau Pinang ke Liga Super 2020 ditarik balik susulan hukuman pemotongan enam mata yang diberikan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Selepas aksi terakhir Liga Perdana semalam, Pulau Pinang menduduki tangga ketiga sambil berkongsi 30 mata dengan PDRM FA di tangga keempat tatkala anak buah Manzoor Azwira Abdul Wahid itu memiliki kelebihan gol.

Namun, hukuman pemotongan mata daripada FIFA diumumkan oleh FAM hari ini sehingga membolehkan PDRM meraih slot kedua ke Liga Super, sekali gus mewujudkan spekulasi bahawa ia dipengaruhi oleh jawatan ahli jawatankuasa eksekutif FAM yang digalas oleh pengurus PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar.

FAM dalam kenyataan hari ini menjelaskan hukuman tersebut adalah kerana kegagalan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menjelaskan tuntutan bekas pemain import dari Brazil, Reinaldo Lobo, selama tiga musim dari 2015-2017.

Bagaimanapun, Stuart pantas menafikan andaian tersebut sambil menegaskan pihak FAM hanya menjalankan tugas serta memberi kerjasama kepada FIFA, termasuk mengemukakan rayuan bagi pihak Pulau Pinang.

"FAM telah mengemukakan rayuan sebanyak tiga kali untuk Pulau Pinang. Hari ini adalah hari terakhir untuk pemotongan enam mata itu dibuat, jadi FAM dengan berat hati terpaksa melakukannya, menolak enam mata.

"Ia keputusan daripada FIFA dan bukan daripada FAM. Malah, keputusan FIFA untuk menolak mata ini telah bermula 28 Jun, jadi tiada sebarang keistimewaan atau apa-apa yang mempengaruhinya."