Penyerang baru Perak II, N.Thanabalan, akan diberikan ruang dan peluang secukupnya untuk menyinar dalam saingan Liga Perdana 2020 bersama kelab itu, kata ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim.

Beliau merancang menjadikan Thanabalan, 25, sebagai pemain utama pasukannya musim ini, namun menegaskan pemain yang mencetuskan fenomena dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu perlu terlebih dahulu membuktikan kesungguhannya.

Abu Bakar percaya bekas tonggak utama skuad B-23 negara itu masih memiliki deria pemusnah meskipun kemampuannya menjadi tanda tanya selepas banyak menghabiskan masa di bangku simpanan ketika bersama Kedah musim lalu.

"Saya mahu melihat dia muncul sebagai antara penjaring terbanyak dalam kalangan pemain tempatan.

"Dengan usianya, belum terlambat untuknya kembali ke puncak prestasi sebelum ini dan kerana pengalaman dimiliki, ruang terbuka luas untuknya berada dalam kesebelasan utama pasukan musim ini.

"Yang penting, di mana dia mahu meletakkan dirinya pada 2020 setelah hilang hampir tiga tahun. Saya sedia bantu dan tunaikan hasratnya untuk dapatkan minit permainan tetapi saya juga mahu lihat usahanya dalam mendapatkan apa yang diinginkan," katanya kepada Bernama.

Abu Bakar berkata kehadiran anak jati Rantau, Negeri Sembilan, itu dapat mempelbagaikan pilihan jentera serangan, sekali gus mampu membantu pasukan tersebut mengharungi saingan musim ini.

"Dia (Thanabalanan) pemain yang berpontensi sebelum ini tetapi agak sukar dapat tempat di Kedah, jadi bila ada peluang untuk Perak II memperkuatkan jentera serangan dengan kehadirannya, kami mencuba.

"Pasukan mungkin menggunakannya di bahagian sayap kerana dia lebih dilihat sebagai pembekal bantuan jaringan," jelasnya lagi.

Thanabalan memiliki kelebihan tandukan sebagai senjata pemusnah dan kelebihan itu melonjakkan popularitinya selepas menanduk masuk jaringan kemenangan ke atas Indonesia dalam aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dia turut membantu Malaysia mara sehingga ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 2018, namun bergelut untuk mencipta nama dalam Liga Malaysia (Liga-M) rentetan kecenderungan hampir kesemua pasukan Liga-M memilih pemain import sebagai penyerang.

Thanabalan hanya membuat 16 penampilan bersama Kedah sejak meninggalkan Negeri Sembilan untuk menyertai skuad Lang Merah dalam saingan Liga Super musim 2019.

-- BERNAMA