TFC II 1 PDRM 2

Hasrat Terengganu FC (TFC) II untuk memperbaiki kedudukan tidak kesampaian selepas tunduk 1-2 kepada PDRM dalam Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Empat minit aksi bermula, tuan rumah melancarkan gerakan dari sebelah kiri menerusi hantaran lintang Lee Junhyeob tetapi sentuhan pertama kurang cermat Andrew Jean-Baptiste menggagalkan peluang awal itu.

Gandingan dua pemain itu sekali lagi mencemaskan kubu PDRM, namun malangnya tandukan Jean-Baptiste pada minit ketujuh mudah dibaca penjaga gol lawan, Mohd Sheril Anuar Sani.

Pelawat memperkemaskan rentak dan pada minit ke-15, dengan hantaran Mohd Safiee Ahmad gagal disudahkan dengan baik Sim Woonsub di dalam kotak penalti sebelum sepakan percuma Woonsub (m-25) diselamatkan Mohd Suhaimi Hussin.

Selepas rehat, aksi hambar ditampilkan TFC II dan PDRM dengan bola banyak berlegar-legar di kawasan tengah sehingga rembatan jarak jauh pemain PDRM, Shunsuke Nakatake, pada minit ke-63 tinggi melepasi pintu gol.

Pelawat terus memberi tekanan dan kesilapan benteng TFC II hampir dihukum Shahurain Abu Samah pada minit ke-71 dengan menyaksikan sepakannya sipi ke sebelah kiri.

Asakan bertali-arus PDRM membuahkan hasil tiga minit selepas itu selepas rembatan deras Nakatake dari luar kotak berjaya menerjah jaring untuk menceriakan kem pelawat.

Penyerang TFC II, Akanni Sunday Wasiu, menyamakan kedudukan pada minit ke-85 apabila menyudahkan umpanan Jean-Baptiste dan perlawanan seakan-akan berakhir dengan seri.

Woonsub begitupun muncul wira PDRM dengan jaringan kemenangan pada masa kecederaan berpunca daripada sepakan percuma Hazwan Fakhrullah Mohd Zuridi, sekali gus melonjakkan PDRM ke tangga ketiga dengan 18 mata daripada 11 perlawanan.