Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) II, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, disahkan tidak lagi membimbing pasukan itu berkuatkuasa serta-merta.

TFC, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari in, menjelaskan pihak pengurusan sebulat suara 'merehatkan' Mustaffa Kamal selepas prestasi kurang memberangsangkan dalam Liga Perdana.

Menurut kenyataan itu lagi, kekosongan jawatan itu akan digalas penolong jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan, menjelang aksi Piala Cabaran, minggu depan.

"Tiada masalah untuk Tengku Hazman mengendalikan pasukan ini kerana sudah bersama sejak awal 2018.

"Selamat maju jaya kepada Tengku Hazman serta ribuan terima kasih atas segala jasa dan keringat Mustaffa Kamal sepanjang menjadi ketua jurulatih TFC," tambah kenyataan itu.

Mustaffa Kamal dalam sidang media terakhir, Jumaat lalu, menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menentukan masa depan pasukan itu.

Persembahan hambar TFC II menyaksikan mereka menamatkan Liga Perdana di kedudukan tercorot dengan hanya empat kemenangan, lima kali seri dan 11 kekalahan, sekali gus tersingkir ke Liga FAM 2019.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)