Terengganu FC (TFC) II menghidupkan perjuangan untuk kekal dalam saingan Liga Perdana selepas menang 1-0 ke atas UKM FC di Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurut ketua jurulatihnya, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, percaturan memasukkan awang import, Andrew Jean-Baptiste, memberikan impak diingini dengan jaringan tunggal perlawanan.

Sambil memberi kredit kepada pemain-pemainnya, Mustaffa Kamal berharap kemenangan itu menjadi kebangkitan dan meneruskan momentum untuk baki empat perlawanan akan datang.

"Jentera serangan masih tumpul, namun kembalinya Bruno (Junichi Suzuki) sekurang-kurangnya menguatkan pasukan ini seperti pada awal musim.

"Sentuhan penyudah akan diperkemaskan kerana kami masih berpeluang memperbaiki kedudukan dalam carta liga," ujarnya.

Menguasai awal permainan, tuan rumah hanya memiliki peluang pertama pada minit ke-38 menerusi Mohammad Haidhir Suhaini di sebelah kanan dengan hantaran dilakukannya gagal disambar rakan-sepasukan.

Pemain import UKM kelahiran Korea Selatan, Nam Se-in, kemudian menguji kem tuan rumah pada minit ke-44 yang menyaksikan percubaan dari luar kotak penalti mudah dibaca penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

TFC II hampir mendapat gol pembukaan pada masa kecederaan separuh masa tetapi Akanni Sunday Wasiu mensia-siakan situasi di depan pintu gol selepas ledakan kaki kiri penyerang itu tersasar ke sebelah tepi.

Tuan rumah memperkemaskan rentak dan mendahului pada minit ke-61 apabila Jean-Baptiste bijak membuat lambungan melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Muhamad Nur Haziq.

Hanya seminit kemudian, UKM dihidangkan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun rembatan lencong Muhamad Azmi ditepis dengan baik Mohd Suhaimi.

Perlawanan dicemari layangan kad merah kepada pemain kedua-dua pasukan, Md Hassan Basri dan Muhammad Aliff Jamaluddin, pada minit ke-71 akibat pergaduhan.

Kemenangan itu menyaksikan TFC II naik satu anak tangga ke kedudukan ke-10 dengan mengumpul 14 mata manakala UKM dengan 18 mata, keenam.