TFC II 1 P PINANG 1

Jaringan penyamaan Akanni Sunday Wasiu pada masa kecederaan menyelamatkan maruah Terengganu FC (TFC) II untuk seri 1-1 dengan Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


Awal permainan menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu mencemaskan kubu TFC II menerusi percubaan jarak dekat Mohd Raimi Md Nor pada minit ke-10 yang tersasar ke sebelah kanan pintu gol lawan.

TFC II memperkemaskan rentak selepas itu dengan hantaran leret Mohamad Rahmat Makasuf gagal disudahkan Ismail Faruqi Ashari (m-13) sebelum sepakan Mohd Shahrin Sapien ditepis penjaga gol Pulau Pinang, Amirul Asyraf Suhaidi, empat minit kemudian.

Tuan rumah terus dihidangkan peluang terbaik, kali ini tiang gol menjadi penghalang dua percubaan berturut-turut Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dan Akanni Sunday pada minit ke-21.

Hasrat TFC II memecahkan kebuntuan pada minit ke-30 tidak kesampaian apabila Nur Shakir mensia-siakan situasi satu lawan satu berdepan Amirul Asyraf, sekali gus membawa kedudukan 0-0 ke bilik persalinan.

Pulau Pinang memulakan babak kedua dengan garang apabila mendahului melalui jaringan Mohd Raimi (m-51) yang bijak menyambar hantaran Sanna Nyassi dari sebelah kiri.

Semakin terdesak dalam usaha menyamakan kedudukan, TFC II hanya mampu melakukan rembatan dari luar kotak penalti, namun percubaan Sebastian Thurier pada minit ke-54 sekadar tersasar.

Akanni Sunday menyelamatkan maruah TFC II dengan menyudahkan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas dia dijatuhkan Ugo Ukah, sekaligus melegakan kem tuan rumah.